Jumaat, 22 Julai 2011

Kelesuan Institusi Masjid.. Penjanaan Pengimarahan Masjid diperlukan..


Apa yang dapat dilihat di Negara kita kini, pembangunan Institusi Masjid semakin lemah dan lesu. Kebanyakkan masjid yang ada di Negara ini tidak menjalankan kefungsiannya dan tidak memainkan peranan seperti mana pada peringkat awal Islam. Masjid sekarang, tidak lagi berperanan untuk mempertingkatkan peradaban manusia. Oleh sebab itu, masjid sekarang kelihatan lesu dan tidak lagi meriah dengan pelbagai agenda dan program bina insan. 

Pada peringkat awal islam khusunya pada zaman pemerintahan Rasullullah S.A.W, institusi masjidnya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti dan mempunyai pelbagai kefungsiannya yang tertentu. Pada zaman itu,  masjid merupakan sebuah institusi di mana setiap aktiviti umat Islam, baik yang berbentuk kemasyarakatan, pendidikan, iqtisad, siasah, riadah dan sebagainya dijalankan. Dengan kata lain, masjid pada zaman tersebut berfungsi sebagai pemangkin kepada aktiviti-aktiviti harian masyarakat.


Bagaimana pula institusi masjid pada masa kini? Institusi masjid pada masa kini hanya menjadi sebagai satu pusat untuk beribadat. Namun begitu, pengimarahan masjid tetap tidak berlaku. Masjid hanya dipenuhi oleh jemaah pada waktu-waktu tertentu sahaja. Misalnya pada bulan Ramadhan, solat jumaat, dan solat sunat hari raya. Di mana jemaah ini ketika waktu solat fardhu yang wajib iaitu solat subuh, zohor, asar, maghrib dan isyak? Pada waktu-waktu sebegini, hanya ahli jawatankuasa masjid sahaja yang kelihatan. Namun begitu, ada juga masjid yang sunyi sepi, tanpa ada bilal untuk melaungkan azan, tanpa ada imam untuk mengimamkan makmumnya.

“Sembahyang seseorang itu paling utamanya ialah di rumah, tetapi bagi sembahyang fardhu, ia paling utama dilakukan di masjid (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim). Orang yang bersolat di masjid mendapat 27 kelebihan dari bersolat di rumah atau di kedai. Setiap langkah mereka ke masjid akan diberikan satu ganjaran dan dihapuskan satu dosa. Satu langkah menghapus kesalahan (dosa) dan yang satu langkah lagi dituliskan baginya satu kebaikan, baik ketika pergi atau ketika pulang (Hadith Riwayat Ibnu Hibban).”



Betapa gahnya masjid di Negara ini? Betapa mewahnya masjid yang dibina? Tetapi bagaimana pula dengan jemaahnya? Adakah sama gah barisan safnya? Adakah meriah masjid ini dikunjungi jemaah? Sayangnya, masjid seakan menjadi sebagai tanda kemewahan Negara tapi tiada fungsinya.

Bagaimana caranya untuk kita mengembalikan semula peranan institusi masjid seperti zaman Rasulullah S.A.W? Bagaimana kita atau yang bertanggungjawab misalnya Ahli Jawatankuasa Masjid untuk mengimarahkan semula masjid-masjid di kawasan mereka? Ahli Jawatankuasa Masjid perlu kreatif dalam memikirkan cara untuk menarik golongan kanak-kanak, remaja, belia, dewasa dan orang tua untuk sama-sama mengimarahkan masjid. Pelbagai cara boleh dilaksanakan, pelbagai kemudahan juga boleh disediakan.

Jika dilihat kembali kepada peranan masjid ketika pemerintahan Rasulullah SAW, masjid bukan sahaja dijadikan sebagai pusat beribadat malah masjid juga berperanan sebagai pusat menyebarkan ilmu agama,  pusat kutipan dan agihan zakat kepada asnafnya dan sebagainya. Institusi masjid di Negara ini juga boleh dikembalikan sinarnya dengan menghidupkannya melalui pelbagai aktiviti dan carian ilmu. Masjid bukan sahaja untuk bersolat malah pelbagai jenis aktiviti seperti aktiviti kemasyarakatan, kebudayaan, kerohanian dan sebagainya boleh dilakukan. Dengan adanya aktiviti sebegini, masjid yang kelihatan lesu boleh dikembalikan sirnanya. Pihak jawatankuasa masjid juga boleh menggunakan wang tabung masjid untuk mengadakan pertandingan misalnya. Sebagai contoh, pertandingan azan dan bacaan al-Quran. Dengan cara ini, kita bukan sahaja dapat menghidupkan masjid, malah kita juga dapat melahirkan masyarakat yang cintakan masjid serta belia remaja yang mempunyai kebolehan dalam hafazan, sekaligus menghasilkan imam muda di kawasan tersebut.

Oleh itu, pelbagai pihak perlulah memegang tanggungjawab untuk menghidupkan kembali institusi masjid. Masjid yang dibina berpuluh-puluh ribu malah mungkin mencecah angkaan juta perlulah digunakan dengan sebaiknya. Jika tidak pembaziran itu pasti berlaku apabila ianya hanya dijadikan sebagai hiasan tanpa ada peranannya. Wujudkanlah rasa sayang dan cinta akan masjid agar sama-sama mendapat keberkatan dari-Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan