Jumaat, 15 Julai 2011

:|| 10 petanda dye jodoh kita ||:

Firman Allah S.W.T, bermaksud "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu". (Surah Muhammad, ayat 7)

Gunakan Seluruh Pancainderamu

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat, dan akal untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi, spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama.  Benarkah ia seperti yang diperkatakan?

Berikut 10 petanda yang menunjukkan dia jodoh kita :-

1- Bersahaja

Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa, serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal atau berkeadaan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.
2- Senang bersama

Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang padanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali bila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam. ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

3- Terima kita seadanya

Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasih, kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak pernah ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga bersedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4- Sentiasa jujur

Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita akan mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan kejujuran menjadi faktor paling penting dalam perhubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya untuk mengelak melakukan curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang diselami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

5- Percaya Mempercayai 

Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia itu perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat ditangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani masing-masing. Mereka rasa selamat memberitahu rahsia-rahsianya kepada kekasih berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia satu apapun daripadanya dan kita pasti rahsia kita selamat dengannya. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

6- Senang bekerjasama

Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan sesuatu perkara sama ada perkara remeh dan sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita di masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7- Memahami diri kita

Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit, dia bawa kita ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, kita menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang bersuka atau berduka, dia sentiasa untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri". Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup di kala suka ataupun duka, di saat tenang dan susah, dialah calon yang sesuai bagi pasangan hidup kita.

8- Tampilkan kelemahan

Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna dari segala sudut. Pasti dikalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan yang tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengaku tentang kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sikap buruk masing-masing, memang kita ditakdirkan hidup bersama.

9- Kata hati

Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindak balas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan Yang Maha Kuasa.

10- Solat Istikharah dan Tawakal

Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di atas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang Maha Esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk dari mimpi dan gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan solat istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insyaAllah dengan izinNya kita dapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolak lah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara. Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya...

ditiru dari :- http://sentuhan-maya.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan