Rabu, 27 Julai 2011

Amalan di bulan Ramadhan..

Ramadhan merupakan waktu yang amat ditunggu-tunggu oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Kedatangan Ramadhan membuatkan mereka ceria dan sangat sibuk dengan amal ibadah. 

Bagi memuliakan dan menghormati Ramadhan, amalan Rasulullah S.A.W dan para sahabat harus dicontohi. Ramadhan dengan amalan-amalan yang disukai lagi diredhai-Nya.



Amalan-amalan yang perlu diutamakan di sepanjang bulan Ramadhan :-
  1. Berpuasa dengan ikhlas, hanya inginkan keredhaan Allah S.W.T.
  2. Jauhi sama sekali dari percubaan merosakkan puasa dengan berbuka tanpa keuzuran kerana amalan itu termasuk antara dosa besar. 
  3. Usaha seberapa boleh untuk hidupkan malam-malam Ramadhan dengan ibadah seperti solat sunat tarawih dan tahajud terutama pada malam Lailatul Qadar.
  4. Pastikan sumber makanan dan minuman di sepanjang bulan ini jauh dari sumber haram atau yang meragukan supaya puasa dan doa dimakbulkan.
  5. Berusaha untuk berbuka puasa secara beramai-ramai kerana pahalanya lebih besar dari berbuka sendirian.
  6. Sentiasa lakukan solat lima waktu secara berjemaah.
  7. Banyakkan bersedekah kerana sedekah pada bulan ini lebih afdal berbanding bulan-bulan yang lain. 
  8. Awasilah diri kita dari menghabiskan waktu tanpa faedah kerana Ramadhan merupakan bulan ibadah.
  9. Jika berupaya, kerjakan umrah kerana umrah pada bulan Ramadhan bersamaan dengan sekali ibadah haji.
  10. Laksanakan ibadah puasa dengan bersahur pada akhir malamnya kerana sahur sunnah Rasulullah SAW
  11. Segera berbuka setelah masuk waktunya.
  12. Sempurnakanlah mandi wajib sebelum naik fajar, supaya dapat meneruskan ibadah puasa dalam keadaan bersih dan suci dari hadas besar.
  13. Banyakkan zikir terutama membaca al-Quran yang merupakan sebaik-baik cara zikir.
  14. Pelihara lidah dari berdusta, mengumpat, maki hamun dan sebagainya kerana amalan-amalan ini pada bulan Ramadhan lebih besar dosanya.
  15. Segala gerak geri dan tindakan kita hendaklah tenang, tidak mudah beremosi dan tidak terkeluar dari batas-batas kesederhanaan. 
  16. Pastikan kita dalam bulan Ramadhan ini tidak melakukan sesuatu yang dilarang Allah dan mentaati segala suruhan-Nya.
  17. Banyakkan zikir dan istighfar dan memohon rahmat daripada-Nya  terutama ketika berbuka dan bersahur.
  18. Banyakkan doa untuk diri sendiri, ibu bapa, anak-anak dan seluruh umat Islam supaya sama-sama dikurniakan kesejahteraannya.
  19. Bertaubat kepada Allah dengan taubat yang bersungguh-sungguh, dengan meninggalkan maksiat, menyesali segala dosa-dosa yang lalu dan tidak akan mengulanginya lagi pada masa akan datang.
  20. Setelah selesai puasa Ramadhan, teruskan berpuasa enam hari pada bulan syawal kerana ganjarannya seumpama berpuasa sepanjang tahun.
Islam mengatur cara hidup khusus untuk bulan Ramadhan. Cara hidup ini harus dijadikan ikutan agar matlamat takwa akan tercapai, Insya Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan